
Tanggal 30 Apr 2025

Jam: 00:27:13

Total pengunjung: 66
Sayyidina Ali berwasiat: Ku wasiatkan kepada
kamu supaya tetap bertaqwa kepada Allah.
Janganlah kamu mengejar-ngejar dunia walau
dunia mengejar kamu dan janganlah menyesal
jika ada sebahagian dunia itu terlepas darimu.
Hendaklah kamu mengatur baik-baik urusan kamu dan jagalah hubungan persaudaraan
antara kamu. Ketahuilah, pertengkaran itu
merosakkan agama dan ingatlah bahawa tidak
ada kekuatan apa pun selain atas perkenan
Allah. Perhatikan anak-anak yatim agar jangan
sampai mereka kelaparan dan jangan sampai kehilangan hak. Perhatikan Al Quran, jangan
sampai kamu mendahulukan orang lain dalam
mengamalkannya. Perhatikan tetangga kamu
sebab mereka adalah wasiat Nabi kamu.
Sayyidina Ali dilahirkan pada hari Jumaat 13
hari bulan Rejab, 12 tahun sebelum Rasulullah SAW menerima wahyu pertamanya. Ibunya,
Fatimah, telah melahirkan Sayyidina Ali di
Kaabah. Ketika itu, Fatimah dan suaminya Abu
Talib sedang melakukan tawaf di keliling
Kaabah. Fatimah yang sarat mengandung, tiba-
tiba terasa sakit hendak bersalin.
Abu Talib menyangka, Fatimah hanya keletihan
maka dia membawa Fatimah berehat di dalam
Kaabah sebelum meneruskan tawafnya. Di
waktu itulah lahirnya Sayyidina Ali yang
sangat besar jasanya sebagai Sahabat dan
menantu Rasulullah, juga Amirul Mukminin bagi umat Islam selepas kewafatan Rasulullah
SAW. Kelahiran Sayyidina Ali hanya disaksikan
oleh ayah dan ibunya sahaja.
Ketika umur Sayyidina Ali 6 tahun, Mekah
sedang dilanda keadaan yang sukar. Orang-orang
yang ramai anak, pasti terasa peritnya hendak memberi makan keluarganya. Di waktu itu
Rasulullah SAW teringat jasa pak ciknya Abu
Talib yang pernah menjaga baginda sewaktu
kecil. Kini pak ciknya telah tua sedangkan anak-
anaknya ramai. Maka sebagai membalas jasa pak
ciknya itu, Rasulullah yang tika itu telah berkahwin dengan Siti Khadijah, telah
mengambil Sayyidina Ali tinggal bersamanya.
Sejak itu Sayyidina Ali diasuh oleh baginda
sendiri. Betapa besarnya kasih sayang yang
dicurahkan oleh Rasulullah kepada Sayyidina Ali
lantaran baginda sendiri telah kematian anak- anak lelakinya. Berada bersama keluarga
Rasulullah SAW telah memberi kesan yang
sangat besar kepada pertumbuhan roh
Sayyidina Ali.
Beliau menyaksikan dan mengikuti
perkembangan jiwa dan fikiran Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri yang menjadi
penghubung antara Sayyidina Ali dan Allah
SWT. Di samping perjuangannya di bidang
akidah, ilmu dan pemikiran, Sayyidina Ali kwj
juga terkenal sebagai seorang pemuda yang
memiliki kesanggupan berkorban yang luar biasa besarnya. Ia mempunyai susunan jasmani yang
sempurna dan tenaga yang sangat kuat. Sudah
tentu, itu saja belum menjadi jaminan bagi
seseorang untuk siap mempertaruhkan
nyawanya membela kebenaran Allah dan Rasul-
Nya.
Imannya yang teguh laksana gunung dan
kesetiaannya serta kecintaanya yang penuh
kepada Allah dan Rasul-Nya, itulah yang
menjadi pendorong utama. Sayyidina Ali kwj
tidak pernah menghitung-hitung risiko dalam
perjuangan suci menegakkan Islam. Dengan jasmani yang tegap dan kuat, serta iman yang
kukuh dan mantap, Sayyidina Ali kwj benar-
benar memenuhi syarat-syarat fizikal dan
rohaniah untuk menghadapi tahap-tahap
perjuangan yang serba berat.
Di saat-saat Islam dan kaum muslimin berada dalam situasi yang kritis dan gawat, Sayyidina
Ali kwj selalu tampil memainkan peranan
penting. Selama hidup, beliau tidak pernah
mengalami hidup selesa. Sejak muda remaja
sampai akhir hayatnya, dia keluar masuk dari
satu kesulitan kepada satu kesulitan lain. Dari satu pengorbanan kepada satu pengorbanan
yang lain pula.
Namun demikian, beliau tidak pernah menyesali
nasib, bahkan dengan semangat pengabdian yang
tinggi kepada Allah dan Rasul-Nya, beliau
sentiasa siap siaga menghadapi segala rintangan. Satu-satunya perkara yang menjadi
keinginannya siang dan malam, hanyalah ingin
memperoleh keredhaan Allah dan Rasul-Nya.
Kesenangan hidup duniawi baginya tidak
penting dibandingkan dengan cinta dan redha
dari Allah dan Rasul-Nya yang dijanjikan untuk hamba-Nya yang berani hidup di atas jalan
kebenaran. Berkali-kali imannya yang teguh
diuji oleh Rasulullah SAW. Setiap kali diuji,
setiap kali itu juga Sayyidina Ali lulus dengan
meraih markah yang amat tinggi.
Ujian pertama yang maha berat ialah yang terjadi pada ketika Rasulullah SAW menerima
perintah Allah SWT supaya berhijrah ke
Madinah. Seperti diketahui, di satu malam
yang gelap-gelita, komplot kafir Quraisy
mengepung kediaman Rasulullah SAW dengan
tujuan hendak membunuh baginda, bilamana baginda meninggalkan rumah.
Dalam peristiwa ini, Sayyidina Ali kwj
memainkan peranan besar. Belaiu diminta oleh
Rasulullah SAW supaya tidur di atas katil
baginda dan menutup tubuhnya dengan selimut
baginda untuk mengaburi mata orang-orang Quraisy. Tanpa tawar-menawar, Sayyidina Ali
kwj menyanggupinya. Ia menangis bukan
mencemaskan nyawanya sendiri, tetapi kerana
bimbangkan keselamatan Rasulullah SAW yang
saat itu berkemas-kemas hendak berhijrah
meninggalkan kampung halaman.
Melihat Sayyidina Ali menangis, maka
Rasulullah bertanya, Mengapa engkau
menangis? Apakah engkau takut mati?
Sayyidina Ali r.a dengan tegas menjawab, Tidak,
ya Rasulullah! Demi Allah yang mengutusmu
membawa kebenaran, aku sangat khuatir terhadap dirimu. Apakah anda akan selamat, ya
Rasulullah?
Ya, jawab Nabi Muhammad SAW dengan tidak
ragu-ragu. Mendengar kata-kata yang pasti
dari Rasulullah SAW., Sayyidina Ali kwj terus
berkata, Baiklah, aku patuh dan kutaati perintahmu. Aku rela menebus keselamatan
anda dengan nyawaku, ya Rasulullah!
Sayyidina Ali r.a segera menghampiri katil
Rasulullah SAW kemudian menggunakan
selimut baginda untuk menutupi tubuhnya.
Ketika itu orang-orang kafir Quraisy sudah mula berdatangan di sekitar rumah Rasulullah
SAW dan mengepungnya dari setiap penjuru.
Dengan perlindungan Allah SWT dan sambil
membaca ayat 9 surah Yasin, baginda keluar
tanpa diketahui oleh orang-orang yang sedang
mengepung dan mengintip. Orang-orang Quraisy itu menyangka, bahawa orang yang sedang
berbaring dan berselimut itu pasti Nabi
Muhammad SAW. Mereka yang mengepung itu
mewakili suku-suku kabilah Quraisy yang telah
bersepakat hendak membunuh Nabi Muhammad
SAW dengan pedang secara serentak. Dengan cara demikian, tidak mungkin Bani Hasyim
dapat menuntut balas.
Sayyidina Ali kwj tahu apa kemungkinan yang
akan menimpa dirinya yang tidur di katil
Rasulullah SAW. Hal itu sama sekali tidak
membuatnya sedih atau takut. Dengan kesabaran yang luar biasa beliau berserah diri
kepada Allah SWT. Beliau yakin, bahawalah
Dialah yang menentukan segala-galanya.
Menjelang subuh, Sayyidina Ali kwjbangun.
Gerombolan Quraisy terus menyerbu masuk ke
dalam rumah. Dengan suara membentak mereka bertanya, Mana Muhammad? Mana
Muhammad?
Aku tak tahu di mana Muhammad berada!
jawab Sayyidina Ali kwj dengan tenang.
Gerombolan Quraisy itu segera mencari-cari di
seluruh rumah itu. Usaha mereka sia-sia belaka. Puak-puak kafir Quraisy itu benar-benar
kecewa. Mana Muhammad? Mana Muhammad?
mereka mengulangi pertanyaan.
Apakah kamu semua melantik aku menjadi
penjaganya? ujar Sayyidina Ali kwj dengan nada
memperolok-olok. Bukankah kamu semua berniat mengeluarkannya
dari negeri ini? Sekarang dia sudah keluar
meninggalkan kamu semua!
Ucapan Sayyidina Ali kwj sungguh-sungguh
menggambarkan ketabahan dan keberanian
hatinya. Cahaya pedang terhunus yang berkilauan, sama sekali tidak dihiraukan, bahkan
orang-orang Quraisy itu dicemuhkan.
Seandainya ada seorang sahaja dari gerombolan
itu menghayunkan pedang ke arah Sayyidina Ali
kwj, entahlah apa yang terjadi. Tetapi Allah
tidak menghendaki hal itu.
Keesokan harinya, Sayyidina Ali kwj berkemas-
kemas mempersiapkan segala keperluan untuk
berangkat membawa beberapa orang wanita
Bani Hasyim, terutama Siti Fatimah r.a
menyusul perjalanan Nabi Muhammad SAW
dalam hijrahnya ke Madinah. Rombongan Sayyidina Ali kwj berangkat secara
terang-terangan di siang hari. Setibanya di
Dhajnan, berlaku keadaan yang sungguh
mencemaskan antara kaum muslimin dan kaum
musyrikin. Puak musyrikin telah berusaha
menghalang rombongan Sayyidina Ali dari meninggalkan Kota Mekah.
Sayyidina Ali kwj yang ketika itu berusia 26
tahun, merupakan orang pertama yang
menghunus pedang untuk mematahkan cubaan
bersenjata orang-orang kafir Quraisy. Dengan
beraninya, beliau menghayunkan pedang ke arah seorang musyirikin bernama Jenah yang berada
di atas kudanya. Terbelahnya tubuh Jenah
menjadi dua. Melihatkan keadaan itu, larinya 7
orang dari pasukan berkuda Quraisy yang
sebelum itu mengejar rombongan Sayyidina Ali.
Dengan keberanian Sayyidina Ali itu, selamatlah rombongan kaum muslimin itu.
Ketika berlaku Perang Badar, yang merupakan
perang pertama yang terpaksa diharungi oleh
kaum muslimin menghadapi musuh yang jauh
lebih besar jumlahnya, untuk pertama kalinya
panji perang Rasulullah SAW berkibar di medan pertempuran. Orang yang diberi kepercayaan
memegang panji yang melambangkan tekad
perjuangan menegakkan agama Allah SWT itu
ialah Sayyidina Ali bin Abi Thalib.
Tanpa pengalaman perang sama sekali dan
dengan kekuatan pasukan yang hanya sepertiga kekuatan musuh, pasukan muslimin dengan iman
yang teguh berjaya mencipta sejarah yang
sangat menentukan perkembangan Islam
seterusnya. Senjatan kaum muslimin waktu
itu boleh dibilang dengan jari. Tentera muslimin
juga tidak memiliki pasukan berkuda dan penunggang unta, iaitu pasukan yang dipandang
paling ampuh pada masa itu. Begitu juga
jumlah kuda dan unta berbanding jumlah
pasukan yang ada, sehingga seekor unta
ditunggang oleh dua hingga empat secara
bergantian. Hanya ada seekor kuda yang tersedia, iaitu yang ditunggang oleh Miqdad
bin Al Aswad Al Kindiy. Itulah kekuatan
lahiriah pasukan Rasulullah SAW di dalam
perang Badar
Dalam perang Badar itu pasukan muslimin
tidak sedikit yang menerjang musuh hanya dengan senjata-senjata tajam yang sangat
sederhana. Sedangkan musuh yang dilawan
mempunyai senjata lengkap dengan kuda-kuda
tunggangan dan unta-unta. Tetapi sebenarnya
kaum muslimin mempunyai senjata yang lebih
ampuh berbanding lawannya, iaitu kepimpinan Rasulullah SAW dan kepercayaan kuat bahawa
Allah pasti akan memberikan pertolongan-Nya.
Allahu Akbar.
Ketika peperangan mula berkobar, Sayyidina Ali
bersama Hamzah bin Abdul Mutalib dan
beberapa orang lainnya, berada di barisan hadapan. Pada tangan Sayyidina Ali r.a berkibar
panji perang Rasulullah SAW. Beliau terjun ke
medan perang menerjang pasukan musuh yang
jauh lebih besar dan kuat. Dalam perang ini
untuk pertama kalinya kalimah Allahu Akbar
berkumandang menyuburkan tekad pasukan muslimin. Saat itu terdengar suara musuh
menentang, Wahai Muhammad, suruhlah orang-
orang yang berwibawa yang berasal dari Quraisy
supaya tampil!
Mendengar cabaran itu, laksana singa lapar,
Sayyidina Ali r.a meloncat mara ke depan mendekati suara yang mencabar itu. Terjadilah
perang satu lawan satu antara Sayyidina Ali
r.a dengan Al Walid bin Utbah, saudara Hindun
isteri Abu Sufyan. Dalam pertempuran yang
sengit itu, Al Walid mati di hujung pedang
Sayyidina Ali kwj. Dalam perang Badar ini, 70 orang pasukan kafir Quraisy mati terbunuh,
dan hampir separuhnya mati di hujung pedang
Sayyidina Ali kwj Selain itu, lebih dari 70
orang pemuka Quraisy berjaya ditawan dan
dibawa ke Madinah. Perang Badar yang berakhir
dengan kemenangan kaum muslimin itu merupakan fajar pagi yang menandakan sinar
agama Allah SWT akan mula memenuhi bumi.
Dalam peperangan yang kedua yakni Perang
Uhud, Rasulullah SAW menyerahkan panji kaum
muhajirin kepada Sayyidina Ali r.a. Sedangkan
panji kaum Ansar diserahkan kepada salah seorang di antara mereka sendiri. Peperangan
Uhud terkenal dalam sejarah sebagai
peperangan yang amat gawat. 700 pasukan
muslimin harus berhadapan dengan 3000
pasukan kafir Quraisy yang dipersiapkan dengan
bekalan dan senjata serba lengkap. Selain itu diperkuat pula dengan pasukan wanita di bawah
pimpinan Hindun binti Utbah, isteri Abu
Sufyan bin Harb, untuk memberikan dorongan
moral agar orang-orang kafir Quraisy jangan
sampai lari meninggalkan medan perang.
Untuk menghadapi kaum musyrikin yang sudah memusatkan kekuatan di Uhud, pasukan
muslimin di bawah pimpinan Rasulullah SAW
menuju ke tempat itu, dengan melalui jalan
singkat sehingga gunung Uhud berada di
belakang mereka. Kemudian Rasulullah SAW
mula mengatur barisan. 50 orang pasukan pemanah ditempatkan di sebuah lembah di
antara dua bukit. Kepada mereka diperintahkan
supaya menjaga pasukan yang ada di belakang
mereka. Ditekankan jangan sampai meninggalkan
tempat, walau dalam keadaan apa sekalipun.
Sebab hanya dengan senjata panah sahajalah serbuan pasukan berkuda musuh dari belakang
dapat ditahan.
Perang Uhud mula berkobar dengan tampilnya
Sayyidina Ali kwj ke depan menghadapi
tentangan Talhah bin Abi Talhah yang mencabar
dengan suara lantang, Siapakah yang akan ke depan berlawan satu dengan satu?
Seperti api disiram dengan minyak, semangat
Sayyidina Ali kwj membara. Dengan hayunan
langkah tegap dan tenang, serta sambil
mengetap giginya, beliau mara dengan pedang
terhunus. Baru saja Talhah bin Abi Talhah menggerakkan tangan hendak menghayun
pedang, secepat kilat pedang Sayyidina Ali r.a
Dzul Fikar menyambarnya hingga terbelah dua.
Betapa bangga Rasulullah SAW menyaksikan
ketangkasan putera bapa saudaranya itu.
Ketika itu kaum muslimin yang menyaksikan ketangkasan Sayyidina Ali kwj
mengumandangkan takbir masing-masing.
Dengan tewasnya Talhah bin Abi Talhah,
pertarungan sengit berkecamuk antara dua
pasukan. Sekarang Abu Dujanah tampil dengan
memakai ikatan maut di kepala dan pedang terhunus di tangan kanan yang baru saja
diserahkan oleh Rasulullah SAW kepadanya. Dia
seorang yang sangat berani. Laksana harimau
keluar dari semak belukar ia maju menyerang
musuh dan membunuh siapa saja dari kaum
musyrikin yang berani mendekatinya. Bersama Abu Dujanah, Sayyidina Ali kwj menghuru-
harakan barisan musuh.
Dalam pertempuran ini, Hamzah bin Abdul
Mutalib tidak kalah semangat berbanding
dengan putera saudaranya sendiri, Sayyidina
Ali kwj dan Abu Dujanah. Hamzah begitu lincah dan tangkas menerobos pasukan musyrikin dan
menewaskan setiap orang yang berani
menghampiri. Ia terkenal sebagai pahlawan
besar dalam menghadapi musuh. Sama seperti
dalam perang Badar, dalam perang Uhud ini,
Hamzah benar-benar menjadi singa dan merupakan pedang Allah yang sangat ampuh.
Banyak musuh yang mati di hujung pedangnya.
Dalam pertempuran antara 700 pasukan
muslimin melawan 3000 pasukan musyrikin
itu, kita saksikan gabungan kekuatan rohaniah
dan lahiriah Sayyidina Ali kwj Hamzah dan Abu Dujanah. Suatu kekuatan yang membuat
pasukan Quraisy menderita.
Sayang seribu kali sayang. Ketika tentera
Muslimin hampir menang, mereka tergoda
dengan harta rampasan perang yang banyak.
Pasukan memanah terlupakan pesanan Rasulullah SAW agar tidak meninggalkan posisi
mereka. Mereka turun dari bukit untuk
mengambil harta-harta yang ditinggalkan
tentera musyrikin. Waktu itulah pihak musuh
kembali menyusun barisan dan memulakan
serang ke atas tentera Islam yang sedang terleka.
Keadaan kembali gawat. Barisan tentera Islam
telah bercerai-berai, terpisah dari pimpinan
Rasulullah SAW. Di saat-saat genting itu,
Sayyidina Ali kwj dan para Sahabat lainnya
segera melindungi Rasulullah SAW. Dengan segenap kekuatan yang ada, mereka menangkis
setiap serangan yang datang demi
menyelamatkan Rasulullah SAW. Semua sudah
bertekad untuk mati syahid, lebih-lebih lagi
setelah melihat Rasulullah SAW terkena
lemparan batu besar yang dicampakkan oleh Utbah bin Abi Waqash. Akibat lemparan batu
itu, geraham Rasulullah SAW patah, wajahnya
pecah-pecah, bibirnya luka parah dan dua
kepingan rantai topi besi melindungi wajah
baginda menembus pipinya.
Setelah dapat menguasai diri kembali, Rasulullah SAW berjalan perlahan-lahan
dikelilingi oleh sejumlah Sahabat. Tiba-tiba
baginda terperosok ke dalam sebuah liang yang
sengaja digali oleh Abu Amir untuk menjebak
pasukan muslimin. Sayyidina Ali kwj bersama
beberapa orang Sahabat lainnya cepat-cepat mengangkat baginda. Kemudian dibawa naik ke
gunung Uhud untuk diselamatkan dari diburu
musuh. Di celah-celah bukit, Sayyidina Ali kwj
mengambil air untuk membasuh wajah
Rasulullah SAW dan menyirami kepala baginda.
Dua buah kepingan rantai besi yang menancap dan menembusi pipi baginda dicabut oleh Abu
Ubaidah bin Al Jarrah dengan giginya, sehingga
dua batang gigi depannya tertanggal.
Demikian sebahagian rentetan perjuangan
Sayyidina Ali yang turut terjun ke medan
peperangan bersama Rasulullah SAW. Sayyidina Ali terkenal sebagai seorang yang sangat
pemurah. Sewaktu hidupnya, beliau yang
miskin, sangat suka membantu janda-janda dan
anak-anak yatim tanpa pengetahuan mereka.
Beliau selalu meletakkan makannan di pintu-
pintu rumah mereka di waktu malam. Setelah beliau meninggal, barulah mereka tahu
bahawa selama ini mereka mendapat makanan
dari Sayyidina Ali kerana setelah beliau tiada
maka mereka tidak lagi mendapat makanan di
pintu rumah mereka.
pintu rumah mereka.
Sayyidina Ali adalah seorang Sahabat Rasulullah SAW yang sangat cerdik dan luas
ilmunya. Rasulullah SAW pernah menyebut
bahawa Sayyidina Ali adalah gudang ilmu.
Setelah kewafatan Khalifah ketiga yakni
Khalifah Uthman Ibnu Affan maka Sayyidina
Ali dilantik sebagai Khalifah yang keempat. Kata Sayyidina Ali: Allah SWT mengetahui
betapa aku tidak suka memimpin pemerintahan
atau memegang kekuasaan di kalangan umat
Nabi Muhammad SAW sebab aku mendengar
sendiri baginda bersabda, ” Tidak ada seorang
penguasa pun yang memerintah umatku, yang kelak tidak akan dihadapkan kepada rakyatnya,
untuk diperlihatkan catatan-catatan
perbuatanya. Jika dia seorang yang adil, maka
selamatlah. Tapi jika dia seorang yang berlaku
zalim, akan tergelincirlah ke dalam Neraka.
Allah SWT mentakdirkan Sayyidina Ali meninggal dunia pada 17 Ramadhan tahun 40
Hijrah. Ketika beliau sedang berjalan menuju ke
masjid untuk sembahyang Subuh, tiba-tiba
muncul Abdul Rahman bin Muljam dengan
pedang terhunus. Pedang itu telah
mencederakan Sayyidina Ali dengan parah hingga beliau rebah.
Sayyidina Ali kemudiannya telah diusung pulang
ke rumahnya oleh Sahabat. Ketika itu ramai
yang ingin membalas dendam tetapi Sayyidina
Ali sendiri dengan lapang dada dan ikhlas
langsung tidak menyebut tentang balas dendam. Umat Islam merasa sedih melihat
keadaan sayyidina Ali yang semakin lemah.
Sayyidina Ali tahu bahawa sudah hampir
masanya untuk beliau menyusuli Rasulullah
SAW dan tiga orang Khalifah baginda sebelum
ini.
Dalam keadaan sangat yang sungguh berat itu,
Sayyidina Ali sempat berwasiat: Ku wasiatkan kepada kamu supaya tetap
bertaqwa kepada Allah. Janganlah kamu
mengejar-ngejar dunia walau dunia mengejar
kamu dan janganlah menyesal jika ada
sebahagian dunia itu terlepas darimu.
Hendaklah kamu mengatur baik-baik urusan kamu dan jagalah hubungan persaudaraan
antara kalian. Ketahuilah, pertengkaran itu
merosakkan agama dan ingatlah bahawa tidak
ada kekuatan apa pun selain atas perkenan
Allah. Perhatikan anak-anak yatim agar jangan
sampai mereka kelaparan dan jangan sampai kehilangan hak. Perhatikan Al Quran, jangan
sampai kamu mendahulukan orang lain dalam
mengamalkannya. Perhatikan tetangga kamu
sebab mereka adalah wasiat Nabi kamu.
Sumber: raudhatussalama.blogspot.com